Pada 10 Mei 2016, Program Latihan Kebakaran (Fire Drill) telah diadakan di Fakulti Komputeran. Ia bertujuan untuk mendedahkan dan latihan persediaan kepada warga fakulti untuk tindakan yang perlu diambil sekiranya kebakaran benar-benar berlaku. Program dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan taklimat yang disampaikan oleh Encik Mohd Norazam bin Mohamed Zain dari Pejabat Keselamatan, Encik Mohd Suhairi bin Mohamed dari Pejabat Harta Bina dan Encik Mohd Hanif bin Amir dari Unit OSHE UTM. Taklimat ini diadakan untuk memberikan panduan mengenai tindakan yang perlu dilakukan untuk simulasi latihan kebakaran yang akan diadakan pada petang berikutnya. Encik Mohd Ayob bin Suradi bertindak sebagai Incident Commander Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT Team) telah mengadakan sedikit perbincangan & membahagikan peranan kepada setiap ahli untuk tindakan yang perlu dilaksanakan semasa simulasi latihan kebakaran berlaku.
Pada pukul 2.45 petang simulasi latihan kebakaran bermula dengan loceng amaran kebakaran & letupan dibunyikan. Kemudian, semua staf dan pelajar Fakulti Komputeran telah berkumpul di tempat letak kereta bahagian hadapan Blok N28a dengan cermat atas arahan Encik Mohd Ayob. Setelah Encik Norazam meberikan penerangan mengenai cara pemadaman api, warga Fakulti Komputeran juga turut diberi peluang untuk mencuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadaman api & gegelung hos (fire hose rail). Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Abdul Samad turut memberikan ucapan penghargaan kepada warga Fakulti Komputeran kerana telah menjayakan latihan kebakaran dengan lancar. Program Latihan Kebakaran telah tamat pada pukul 3.45 petang.