Pada 23 Mei 2016, Majlis Amanat Dekan, Semarak Ramadhan & Perpisahan Staf telah diadakan. Majlis bermula pada pukul 9.30 pagi dengan kata aluan diiringi dengan doa pembukaan majlis oleh Encik Hj. Mohd Ayob bin Suradi. Majlis Amanat Dekan dimulakan dengan Prof. Dr. Abdul Samad bin Hj. Ismail dimana beliau membentangkan ringkasan aktiviti sepanjang Januari hingga Mei 2016. Beliau juga turut membincangkan hala tuju & strategi Fakulti Komputeran untuk tahun 2016 – 2017, serta kekurangan yang perlu diberi tumpuan untuk penambahbaikkan turut juga ditekankan.
Pada pukul 10.30 pagi pula, Ceramah Semarak Ramadhan bertajuk “Indahnya Ramadhan” disampaikan Y.Bhg. Prof. Madya. Ustaz Aminudin bin Ruskam. Ceramah beliau menekan persiapan untuk menghadapi bulan Ramadhan serta amalan untuk menghidupkan bulan Ramadhan serta fadilatnya. Beliau juga turut menyampaikan pengalaman bagaimana bulan Ramadhan diraikan & program dakwah yang dijalankan diluar negara seperti dinegara-negara teluk & Amerika Syarikat. Ceramah Semarak Ramadhan telah berakhir pada pukul 11.40 pagi dengan pemberian cenderahati disempurnakan oleh Prof. Dr. Abdul Samad kepada PM Ustaz Aminudin sebagai tanda pernghargaan.
Acara terakhir iaitu Majlis Perpisahan & Persaraan staf diadakan bagi menghargai staf-staf yang telah berkhidmat di Fakulti Komputeran. Staf yang telah bersara ialah Prof. Madya Dr. Salihin bin Ngadiman dan Prof. Madya Dr. Subariah binti Ibrahim. Prof. Dr. Ghazali bin Sulong telah berpindah ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT), manakala Encik Ganesan a/l Andhimuthu telah bertukar jabatan ke Fakulti Biomedik & Kejuruteraan Perubatan (FBME). Staf yang telah tamat tempoh kontrak pula ialah Dr. Dewi Nasien dan Dr. Hoshang Kolivand Morad. Hadiah penghargaan telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Abdul Samad. Majlis tamat pada pukul 11.50 pagi dengan jamuan tengahari disediakan.







