Sebuah program Simposium Pembangunan Prototaip Portal Ilmu Pendidikan Rendah Karbon (Knowledge Portal Development for Low Carbon Education) bagi projek Iskandar Malaysia Challenge (IMELC) telah dijalankan di Fakulti Komputeran pada 23 Mei 2018 yang lalu. Matlamat utama Simposium ini adalah untuk memberi latihan dan pengetahuan di dalam bidang Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) dan Kejuruteraan Keperluan (Requirements Engineering) kepada para pelajar tahun 2 Program Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian, SCSJ) terhadap persekitaran pembangunan sesebuah perisian menurut perspektif pemegang taruh (stakeholders) yang sebenar. Pemegang taruh yang merupakan rakan kolaborasi program ini adalah pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) & Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).
Tema projek IMELC yang menumpukan kepada pendidikan rendah karbon kepada masyarakat umumnya; serta ibubapa dan para pelajar khususnya – juga merupakan satu pendedahan sebenar kepada para pelajar program ini di dalam memahami dan mengaplikasikan teknik sebenar yang berkaitan di dalam fasa elisitasi keperluan daripada pemegang taruh yang kritikal di dalam sesebuah projek pembangunan perisian menurut piawaian industri. Program ini juga dirancang bagi bertujuan memberi pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar dengan mempersembahkan hasil akhir menerusi pembentangan poster dan demo prototaip kepada pemegah taruh setelah memahami dan mengaplikasikan teknik sebenar yang berkaitan di dalam fasa elisitasi keperluan daripada pemegang taruh di dalam sesebuah projek pembangunan perisian menurut piawaian industri dengan menitikberatkan inisiatif pembangunan mampan (Sustainable Development) yang merupakan satu agenda pembelajaran dan pengajaran yang ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Selain daripada itu, program ini bertujuan menerapkan pendekatan pedagogi pengajaran Project-oriented Problem-based Learning (PoPbL) selaras dengan aspirasi New Academia Learning Innovation (NALI) di UTM yang mendedahkan pelajar kepada teknik penyelesaian masalah terhadap sesebuah projek kajian kes yang diberikan, yang sangat menekankan aspek memupuk kemahiran generik seperti berkomunikasi dan berkerjasama di dalam sebuah kumpulan yang sangat diperlukan terhadap bidang pekerjaan mereka kelak. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran PoPbL ini juga dapat melahirkan para graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dan kompeten di dalam bidang teknikal (Kejuruteraan Perisian), malahan dapat memupuk kemahiran professional dan generik yang kritikal bagi menghadapi era dan cabaran Revolusi Industri ke-4 yang mendatang.
Menurut Dr. Noraini Ibrahim selaku Pengarah Program ini yang merangkap sebagai Penyelaras Kursus SCSJ2253 Requirements Engineering & Software Modeling; terdapat 3 objektif program iaitu:
- Memberi pendedahan kepada pelajar terhadap keperluan sebenar yang kritikal di dalam sesebuah pembangunan perisian menurut perspektif pihak komuniti dan industri yang berasaskan pembangunan mampan.
- Memberi peluang dan melatih para pelajar untuk mempraktikkan teori dan ilmu yang diperolehi di dalam kelas yang berkaitan kepada domain persekitaran yang sebenar.
- Menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan lebih erat dengan pihak luar yang berkepentingan terutamanya di kalangan komuniti dan industri.
Pendekatan perlaksanaan Program Simposium Pembangunan Prototaip Portal Ilmu Pendidikan Rendah Karbon bagi projek Iskandar Malaysia Challenge (IMELC) ini dilaksanakan secara pembentangan poster dan prototaip yang akan dinilai oleh pihak pemegang taruh yang dipilih iaitu pihak IRDA, JPNJ dan sekolah terpilih yang terlibat dengan projek IMELC ini.
Seramai 61 orang pelajar dan 4 orang pensyarah bagi 2 kerja kursus iaitu SCSJ 2203 Software Engineering dan SCSJ 2253 Requirements Engineering & Software Modeling akan terlibat di dalam program ini. Tenaga penggerak adalah dari para pensyarah yang mengajar 2 kerja kursus ini iaitu:
- Dr. Shahliza Abd Halim – SCSJ 2203 Software Engineering (Seksyen 02)
- Dr. Nor Azizah Sa’adon – SCSJ 2203 Software Engineering (Seksyen 03)
- Dr. Noraini Ibrahim – SCSJ 2253 Requirements Engineering & Software Modeling (Seksyen 01)
- PM Dr. Radziah Mohamad – SCSJ 2253 Requirements Engineering & Software Modeling (Seksyen 02)
Secara keseluruhan, Simposium ini berjalan dengan lancar. Kesemua pihak terlibat terutamanya IRDA, JPNJ dan guru-guru terpilih sebagai pemegang taruh yang menjadi juri berpuas hati dengan persembahan dan prestasi para pelajar dalam membangunkan prototaip portal ilmu pendidikan rendah karbon. Bagi meningkatkan komitmen dan memupuk kesungguhan ahli-ahli kumpulan pelajar, Simposium ini menyediakan hadiah kepada 3 kumpulan pemenang bagi setiap kategori persembahan poster terbaik dan demo prototaip yang memenuhi aspek keperluan pemegang taruh dan ciri-ciri perisian yang berkualiti. Anugerah Best of the Best akan diberikan kepada pemenang kumpulan keseluruhan.
Lebih banyak gambar berkaitan Simposium ini boleh dilayari di: https://comp.utm.my/old/photos/?p=29984
Terdahulu, Bengkel elisitasi keperluan dan brainstorming bersama pihak IRDA dan JPNJ telah dilaksanakan secara bengkel bersemuka dan perkongsian pengetahuan bagi membolehkan para pelajar menjelaskan lagi pemahaman mereka berkaitan dengan masalah projek yang diberikan. Gambar berkaitan Bengkel ini boleh dilayari di: https://comp.utm.my/old/photos/?p=29697