Prof Dr Abdul Hanan bin Abdullah telah dilahirkan pada tanggal 12 May 1960 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan dalam sebuah keluarga besar iaitu seramai 7 orang adik-beradik dan beliau merupakan anak ke-2. Beliau dikurniakan 6 orang cahaya mata, seorang puteri dan 5 putera hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta Puan Rohana Yusof.

Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan pengurusan memang tidak dapat dinafikan. Berikut merupakan ringkasan perjalanan karier beliau di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak mula berkhidmat sehingga tarikh persaraan.

Prof Dr Abdul Hanan atau lebih mesra dengan Prof Hanan memulakan tugas sebagai seorang pendidik di UTM dengan menjawat jawatan sebagai Penolong Pensyarah A pada 13 Julai 1987. Beliau kemudiannya menjadi Pensyarah Tetap pada 11 Ogos 1987 dan disahkan jawatan pada 1 November 1988.

Karier Prof Hanan dalam bidang pengurusan bermula apabila beliau dilantik sebagai Ketua Maklumat Sistem di Institut Sains Komputer dari 1 Febuari 1989 hingga 31 Disember 1990. Selepas dari itu beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan (Perisian) di Fakulti Sains Komputer selama 2 tahun bermula 1 April 1995 hingga 30 April 1997.

Pada tanggal 26 November 1996 beliau telah mengorak setapak lagi dalam kerjaya beliau di mana beliau telah dinaikkan pangkat ke Profesor Madya. Karier beliau terus menyerlah apabila telah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik) di Fakulti Sains Komputer Sistem Maklumat (FSKSM) pada 1 Mei 1997 hingga 30 April 1999. Kecemerlangan beliau menjalankan tugas telah membolehkan UTM menyambung khidmat beliau sebagai Timbalan Dekan (Akademik) dari 1 Mei 1999 hingga 30 April 2001. Tidak terhenti di situ UTM sekali lagi melantik beliau sebagai Timbalan Dekan (Akademik) untuk kali ke 3 pada 1 Mei 2001 hingga 30 April 2003 atas kecemerlangan beliau menjalankan tugas di FSKSM.

Tanggal 29 Oktober 2002 merupakan satu detik manis beliau sebagai staf akademik apabila telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor (VK07).

Perlu dinyatakan di sini, sifat keprihatinan dan kepemimpinan beliau begitu terserlah dan sukar disanggah. Atas kecemerlangan yang ditunjukkan semasa memegang jawatan Timbalan Dekan (Akademik) sebelum ini dan juga pengalaman yang luas, UTM telah melantik beliau sekali lagi sebagai Timbalan Dekan (Akademik) dari 1 Mei 2003 hingga 15 Jun 2004.

Untuk berjaya kita perlu mendaki setangga demi setangga sehingga ke puncak jaya, begitu jugalah dengan Prof Hanan. Kecemerlangan dalam kepemimpinan beliau memang terserlah dan tidak boleh disangkal lagi. Kemuncak ketokohan kepimpinan beliau sebagai pentadbir di UTM adalah apabila beliau telah dilantik sebagai Dekan di FSKSM bermula 16 Jun 2004 hingga 15 Jun 2006. Atas perkhidmatan yang cemerlang disamping hubungan mesra dengan staf akademik dan sokongan, khidmat beliau sebagai dekan telah disambung dari 16 Jun 2006 hingga 15 Jun 2008, kemudian dari 16 Jun 2008 hingga 15 Jun 2010, dan 16 Jun 2010 hingga 15 Jun 2011. Ini menjadikan beliau antara staf akademik yang lama memegang jawatan sebagai Dekan di FSKSM. Bakat kepimpinan beliau sungguh menyerlah dan beliau mempunyai wawasan pendidikan yang cukup tinggi dan patut dicontohi.

12 tahun selepas dinaikkan pangkat ke Profesor (VK07), beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan pada tanggal 18 Mac 2014, UTM telah menaikkan pangkat beliau ke Profesor (VK06) atas kecemerlangan yang dicapai.

Selain tugas utama sebagai pengajar, beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan di UTM. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan “Pervasive Computing Research Group (PCRG) pada 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2018. Khidmat beliau diteruskan apabila terus dilantik sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan “Pervasive Computing Research Group (PCRG) pada 1 September 2018 hingga 14 Februari 2020.

Demikianlah serba sedikit biodata Prof Dr Abdul Hanan bin Abdullah, staf akademik Sekolah Komputeran yang akan bersara pada 11 Mei 2020. Segala jasa bakti beliau akan dikenang sepanjang hayat kita dan hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya.

Selamat bersara diucapkan kepada Prof Dr Abdul Hanan bin Abdullah dari kami warga Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

Terang bulan di malam hari,
Indah gemerlap bintang bercahaya,
Kasih dan sayang ikhlas terpatri,
Rindu bertaut sepenuh jiwa.

Raut wajah damai dan tenang,
Tiada terkalam kasih dijunjung,
Jasa baktimu tetap dikenang,
Budi baikmu tetap disanjung.