36 pelatih Kor SUKSIS UTM ditauliah sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis

by | Sep 15, 2026 | Awards/ Winning-Competition/ Recognition

BACHOK, 14 Sept. – Seramai 36 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis dalam Majlis Pentauliahan Kor SUKSIS Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.

Majlis pentauliahan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, CP Dato’ Noor Hisam Nordin.

CP Dato’ Noor Hisam Nordin bersama kontinjen Kor SUKSIS UTM

Sebelum majlis berlangsung, pelatih Kor SUKSIS UTM menjalani latihan intensif di UMK sejak 2 September 2026 sebagai persediaan menghadapi pentauliahan. Majlis dimulakan dengan perbarisan di Padang Kawad Perdana UMK sebelum diteruskan dengan penyerahan sijil Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok.

Kontinjen UTM diketuai ACP/KS Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Komandan Kor SUKSIS UTM, bersama seorang Pegawai Kehormat, seorang Pegawai Penyelaras dan lima orang jurulatih.

ACP/KS Prof. Ts. Dr. Ali Selamat (tiga dari kiri) bersama barisan komandan Kor SUKSIS IPTA
ACP/KS Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Komandan Kor SUKSIS UTM

Kor SUKSIS UTM merupakan salah satu platform pembangunan mahasiswa yang memberikan pendedahan kepada bidang kepolisan, keselamatan dan kepimpinan menerusi latihan berstruktur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai bidang kerjaya dalam kepolisan, termasuk peluang untuk menyertai pasukan polis selepas menamatkan pengajian.

Pelaksanaan latihan Kor SUKSIS berlangsung selama tiga tahun, bersamaan enam semester, dengan kursus latihan dikira sebagai sebahagian daripada kredit pengajian pelajar. Sepanjang tempoh berkenaan, pelatih mengikuti pelbagai modul teori dan amali, termasuk kelas undang-undang, seni mempertahankan diri, latihan menembak dan pandu arah, selain latihan lain yang memberi penekanan kepada kepimpinan, kecergasan fizikal, ketahanan mental serta kemahiran bekerja dalam pasukan.

Barisan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis UTM

Dari aspek pelaksanaan, latihan pelatih dikendalikan oleh jurulatih PDRM yang ditempatkan di Kor SUKSIS UTM bagi memastikan latihan yang disampaikan berasaskan amalan serta keperluan sebenar dalam bidang kepolisan. Pelaksanaan latihan dan program turut diselaraskan oleh Pegawai Penyelaras daripada PDRM yang ditempatkan di Kor SUKSIS UTM.

Pada masa sama, Pegawai Kehormat daripada UTM memantau perjalanan latihan dan program bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta selaras dengan matlamat pembangunan mahasiswa.

Pencapaian kontinjen UTM turut diserlahkan menerusi pengiktirafan kepada tiga pelatih dalam kategori kecemerlangan. Insp/KS Muhammad Afiffahmi Hj. M’Asri dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan UTM, manakala Insp/KS Nurul Izzati Djabir menerima pengiktirafan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar UTM. Insp/KS Muhammad Firdaus Mohamad Azaluddin pula diiktiraf sebagai Pelatih Terbaik Akademik UTM.

Antara pelatih Kor SUKSIS UTM yang menyertai Majlis Pentauliahan Kor SUKSIS IPTA

Pentauliahan berkenaan melengkapkan tempoh latihan tiga tahun yang dilalui para pelatih, di samping memperlihatkan penglibatan mahasiswa dalam program pembangunan yang merangkumi aspek kepimpinan, disiplin, kecergasan fizikal, ketahanan mental dan khidmat kepada masyarakat.

Dengan pentauliahan tersebut, 36 pelatih UTM kini bergelar Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis dan membawa tanggungjawab baharu untuk meneruskan semangat kesukarelawanan serta menyumbang kepada masyarakat mengikut peranan dan bidang masing-masing.

Written By

Written by: Alex Johnson

Alex Johnson is a passionate advocate for student empowerment and has been a part of the FC UTM community for over a decade. With a background in educational development, Alex is committed to helping students achieve their full potential.

Related Posts

UTM research turns e-waste into potential hydrogen-energy material

Researchers at Universiti Teknologi Malaysia have successfully converted electronic waste into a potential material for solar-driven hydrogen-energy applications. The initiative collected over 2,777 kg of e-waste and processed it into a carbonaceous material that can be used as a conductive matrix for photoelectrochemical electrodes. The research has the potential to contribute to clean energy solutions and aligns with the United Nations’ Sustainable Development Goals.

read more

UTM researchers earn major honours at MRC 2026

Researchers from Universiti Teknologi Malaysia (UTM) secured three Awards of Excellence and First Runner-Up recognition at the 13th Malaysian Road Conference & Exhibition 2026 for their innovative projects in sustainable pavement and road-material development. The projects, which include self-healing polymer for flexible pavement and high-performance pavement technology, demonstrate UTM’s work in advancing resilient and sustainable road construction. The recognitions strengthen UTM’s profile in civil engineering research and innovation.

read more
WBLMS Fakulti Komputeran UTM raih emas di IIDEL 2026

WBLMS Fakulti Komputeran UTM raih emas di IIDEL 2026

Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meraih pingat emas dalam pertandingan Invention, Innovation & Design on E-Learning (IIDEL) 2026 dengan inovasi WBLMS: Human-Centred Cybergogy. Sistem ini dibangunkan untuk menangani cabaran penyelarasan pembelajaran berasaskan pekerjaan dan telah digunakan dalam pelaksanaan program UTM 2u2i. WBLMS mengintegrasikan pengurusan penempatan pelajar, penyeliaan, pemantauan kemajuan, penyerahan projek, penilaian dinamik, maklum balas dan penggabungan hasil pembelajaran.

read more

0 Comments

UTM Open Day