BACHOK, 14 Sept. – Seramai 36 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis dalam Majlis Pentauliahan Kor SUKSIS Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.
Majlis pentauliahan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, CP Dato’ Noor Hisam Nordin.

Sebelum majlis berlangsung, pelatih Kor SUKSIS UTM menjalani latihan intensif di UMK sejak 2 September 2026 sebagai persediaan menghadapi pentauliahan. Majlis dimulakan dengan perbarisan di Padang Kawad Perdana UMK sebelum diteruskan dengan penyerahan sijil Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok.
Kontinjen UTM diketuai ACP/KS Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Komandan Kor SUKSIS UTM, bersama seorang Pegawai Kehormat, seorang Pegawai Penyelaras dan lima orang jurulatih.


Kor SUKSIS UTM merupakan salah satu platform pembangunan mahasiswa yang memberikan pendedahan kepada bidang kepolisan, keselamatan dan kepimpinan menerusi latihan berstruktur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai bidang kerjaya dalam kepolisan, termasuk peluang untuk menyertai pasukan polis selepas menamatkan pengajian.
Pelaksanaan latihan Kor SUKSIS berlangsung selama tiga tahun, bersamaan enam semester, dengan kursus latihan dikira sebagai sebahagian daripada kredit pengajian pelajar. Sepanjang tempoh berkenaan, pelatih mengikuti pelbagai modul teori dan amali, termasuk kelas undang-undang, seni mempertahankan diri, latihan menembak dan pandu arah, selain latihan lain yang memberi penekanan kepada kepimpinan, kecergasan fizikal, ketahanan mental serta kemahiran bekerja dalam pasukan.

Dari aspek pelaksanaan, latihan pelatih dikendalikan oleh jurulatih PDRM yang ditempatkan di Kor SUKSIS UTM bagi memastikan latihan yang disampaikan berasaskan amalan serta keperluan sebenar dalam bidang kepolisan. Pelaksanaan latihan dan program turut diselaraskan oleh Pegawai Penyelaras daripada PDRM yang ditempatkan di Kor SUKSIS UTM.
Pada masa sama, Pegawai Kehormat daripada UTM memantau perjalanan latihan dan program bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta selaras dengan matlamat pembangunan mahasiswa.
Pencapaian kontinjen UTM turut diserlahkan menerusi pengiktirafan kepada tiga pelatih dalam kategori kecemerlangan. Insp/KS Muhammad Afiffahmi Hj. M’Asri dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan UTM, manakala Insp/KS Nurul Izzati Djabir menerima pengiktirafan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar UTM. Insp/KS Muhammad Firdaus Mohamad Azaluddin pula diiktiraf sebagai Pelatih Terbaik Akademik UTM.

Pentauliahan berkenaan melengkapkan tempoh latihan tiga tahun yang dilalui para pelatih, di samping memperlihatkan penglibatan mahasiswa dalam program pembangunan yang merangkumi aspek kepimpinan, disiplin, kecergasan fizikal, ketahanan mental dan khidmat kepada masyarakat.
Dengan pentauliahan tersebut, 36 pelatih UTM kini bergelar Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis dan membawa tanggungjawab baharu untuk meneruskan semangat kesukarelawanan serta menyumbang kepada masyarakat mengikut peranan dan bidang masing-masing.

0 Comments