KUALA LUMPUR, 26 Sept. – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan pelancaran buku Kembara Dunia: 100 Hari, 40 Syarahan, 15 Negara karya Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis anjuran Penerbit UTM Press dengan kerjasama Perpustakaan UTM itu meraikan penerbitan karya yang merakam perjalanan ilmu penulis ke 15 negara dari 16 April hingga 26 Julai 2025. Sepanjang tempoh 100 hari tersebut, beliau menyampaikan 40 syarahan serta bertemu lebih 100 sarjana terkemuka dunia.
Buku terbitan Penerbit UTM Press itu menghimpunkan pengalaman, pemerhatian dan refleksi penulis mengenai perkembangan ilmu, penyelidikan, pendidikan tinggi serta kehidupan masyarakat di negara yang dikunjungi. Pengalaman bertemu sarjana dan melawat pelbagai institusi turut membuka ruang kepada beliau untuk meneliti pendekatan berbeza terhadap pembangunan ilmu dan masyarakat.
Antara persoalan yang diketengahkan dalam karya tersebut ialah bagaimana budaya ilmu dan keadaan sesebuah masyarakat dapat difahami melalui pengalaman berada di sesuatu tempat. Penulis turut membandingkan suasana bandar dan institusi di Boston, Oxford, Istanbul dan Oslo.
Catatan berkenaan mengajak pembaca melihat perjalanan sebagai ruang untuk memperluas pandangan, membina hubungan akademik dan menilai semula peranan ilmu dalam kehidupan. Melalui perkongsian pengalaman merentas negara, buku itu turut memperlihatkan bahawa perkembangan ilmu berkait rapat dengan persekitaran, budaya dan cara sesebuah masyarakat menghargai pendidikan.
Pembaca juga dibawa mengikuti perjalanan intelektual seorang sarjana yang terus aktif berkongsi pengetahuan dan membina jaringan akademik di peringkat global.

Dalam sembah ucapannya, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyatakan bahawa pengalaman yang dirakamkan dalam buku tersebut mencerminkan kepentingan mobiliti intelektual dan hubungan ilmu merentas sempadan.
Beliau turut menekankan keperluan universiti melahirkan sarjana yang mempunyai pandangan luas, mampu berdialog merentas budaya dan membawa khazanah ilmu Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr. Noraisah Spahat, selaku wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Hj. Mokhtar; barisan kepimpinan universiti serta kira-kira 500 tetamu undangan.

Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UTM dari 2008 hingga 2013 sebelum memegang jawatan Ketua Setiausaha di beberapa kementerian. Beliau merupakan penerima Anugerah Merdeka 2009 dan Tokoh Kejuruteraan Negara 2025, selain menghasilkan lebih 300 artikel saintifik, 2,000 artikel umum dan 58 buah buku.
Penerbitan Kembara Dunia: 100 Hari, 40 Syarahan, 15 Negara memperlihatkan perjalanan seorang sarjana dalam menelusuri perkembangan ilmu, pendidikan tinggi dan kehidupan masyarakat melalui pengalaman merentas pelbagai negara. Karya tersebut turut menjadi wadah perkongsian pemerhatian dan pemikiran berkaitan hubungan antara ilmu, budaya serta pembangunan masyarakat.

0 Comments