JOHOR BAHRU, 2 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan sebagai pusat wacana ilmu melalui penganjuran Forum Intelektual DiRaja 2025 yang membawa tema “Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam dalam Era Inovasi Digital”. Program berprestij ini berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim, Bandar Medini Iskandar, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah; Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM; serta Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam sembah ucapannya menjunjung kasih atas keberangkatan, menegaskan bahawa tema forum ini mencerminkan komitmen UTM dalam membina wacana yang menggabungkan nilai keagamaan dengan kemajuan teknologi. Beliau menekankan bahawa dalam mengejar transformasi digital, maqasid syariah, akhlak, dan karamah insaniah mesti menjadi landasan utama.
Penganjuran Forum Intelektual DiRaja 2025 ini bukan sahaja menzahirkan komitmen UTM sebagai menara ilmu berwibawa, tetapi juga meneguhkan peranan universiti dalam merangka wacana yang menghubungkan tradisi kearifan Islam dengan arus kemajuan digital.
Nexaholo dipamerkan bersama figura kemerdekaan Malaysia bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ini merupakan kemunculan yang pertama figura Malaysia dalam hologram nexaholo yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan figura berinteraksi mengunakan klon suara sebenar. Inovasi ini dibawa khas untuk pameran Forum Intelektual DiRaja 2025.