Aplikasi Scratch: Pemangkin Minat Pelajar Sekolah Rendah Terhadap Dunia IT dan Pengaturcaraan

Farkhana Muchtar

JOHOR BAHRU, 25 September – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia telah melaksanakan program pemindahan ilmu kepada murid sekolah rendah di sekitar Johor Bahru bertempat di bangunan N28, Fakulti Komputeran, UTM.

Bengkel Pengajaran Aplikasi Scratch ini diketuai oleh Dr Farkhana Muchtar. Pelaksanaan bengkel ini turut disokong oleh Ketua Tenaga Pengajar Dr Pang Yee Yong serta pengajar sokongan, fasilitator, staf teknikal dan staf sokongan daripada Fakulti Komputeran.

Program ini, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, berjaya menghimpunkan 30 murid sekolah rendah bersama 10 guru pengiring daripada 5 buah sekolah terpilih di daerah ini. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Rendah Sri Skudai, Sekolah Rendah Batu 10, Sekolah Taman Universiti 1, Sekolah Rendah Seri Kenanga, dan Sekolah Perumahan Tampoi 2.

Majlis perasmian bengkel ini disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran, Profesor Madya Dr Siti Zaiton Mohd Hashim. Turut hadir ialah Encik Mohd Najib Salleh, wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, yang memberikan sokongan terhadap inisiatif ini.

Program ini menggabungkan sesi teori dan amali, di mana para murid berpeluang membina permainan digital mereka sendiri menggunakan aplikasi Scratch. Melalui pendekatan ini, konsep asas pengaturcaraan disampaikan secara interaktif dan menyeronokkan. Kebanyakan murid yang ditemui selepas program menyatakan bahawa minat mereka terhadap pengaturcaraan semakin meningkat. Mereka juga merasakan pengalaman ini sebagai persediaan yang berharga untuk pendidikan di sekolah menengah, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), selain turut mengasah pemikiran logik dan analitis mereka.

Peserta sedang membangunkan permainan digital

Dr Farkhana menyatakan bahawa bengkel ini bukan sahaja menyediakan pendedahan awal kepada dunia pengaturcaraan, tetapi juga berfungsi sebagai sebahagian daripada usaha UTM untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti. Kerjasama erat dengan sekolah-sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru diharapkan dapat membina rangkaian sokongan pendidikan yang mampan dan memberi impak positif kepada generasi muda.

Guru dan peserta menerima sijil penyertaan di akhir program

Di penghujung bengkel, semua peserta dan guru pengiring menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan atas komitmen dan usaha mereka dalam menjayakan program ini

Scroll to Top