MAFC 2023 Rai Sumbangan Staf Fakulti Komputeran

JOHOR BAHRU, 16 Nov – Fakulti Komputeran meraikan sumbangan seluruh warga kerjanya melalui penganjuran Majlis Apresiasi Fakulti Komputeran (MAFC) 2023 pada 15 November 2023 di Hotel Le Grandeur Palm Resort Senai, Johor.


Majlis tersebut bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan menghargai sumbangan staf kepada kecemerlangan fakulti disamping mengeratkan pemuafakatan antara pihak pengurusan dan warganya.

Dekan, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap ianya menjadi motivasi kepada rakan-rakan lain dan seterusnya menjadi pemangkin melonjakkan Fakulti Komputeran ke tahap yang lebih tinggi.

“Fakulti Komputeran sentiasa berusaha mengukuhkan nilai teras dengan penambahan elemen ketabahan, matlamat, dan penyelesai masalah (perseverence, purpose and problem solver) ke dalam ISES, selaku nilai teras utama UTM. Adalah menjadi impian kami untuk menjadikan fakulti ini sebagai rujukan industri dan komuniti di kawasan selatan tanah air di samping memperkasa inovasi dan menjana ekonomi nilai tinggi,” tambahnya lagi.


Sebanyak 14 anugerah utama disampaikan kepada penerima dalam MAFC kali ini. 64 staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 44 lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Kepujian.

Pemenang Anugerah Penyelidikan (Geran Penyelidikan), Ts. Dr Goh Eg Su sangat gembira dengan pengiktirafan ini dan akan berazam untuk terus memberikan yang terbaik demi Fakulti Komputeran yang lebih gemilang.

Bagi Ts. Dr. Johanna Ahmad yang merangkul Anugerah Pengajaran (Pra-Siswazah) pula, mengajar bukan sekadar profesion tetapi ‘passion’ dan menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikan pelajar adalah satu keistimewaan yang sangat indah. “Anugerah pengajaran ini adalah bukti semangat kolaboratif yang wujud antara pelajar dan pensyarah. Saya berkongsi kegembiraan ini dengan pelajar-pelajar saya yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi, juga mentor-mentor yang telah banyak berkongsi ilmu dalam perjalanan saya menjadi seorang pendidik di UTM terutama bagi kursus Data Structure and Algorithms dan Software Engineering,” ujarnya lagi.


Penampilan unik dan kreatif beberapa staf yang hadir dalam majlis bertemakan ‘Holiday & Travel’ itu turut mencuri tumpuan. Antaranya Faezah Zianalabiden yang tampil sebagai juruterbang dan ‘Pelancong Mat Saleh’ Ts. Mohd Hazri Ishak yang turut mendapat jolokan ‘Justin Tiber MAFC 2023’. Keduanya turut dinobatkan sebagai pemenang ‘Best Holiday & Travel Outfit of The Day’ di kemuncak acara.


Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Siti Zaiton Hashim dan Pemangku Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Radziah Mohamad.

Senarai penuh pemenang anugerah MAFC 2023:

1. Anugerah Pengajaran (Pra-Siswazah) : Ts. Dr. Johanna binti Ahmad
2. Anugerah Pengajaran (Pasca Siswazah ) : Dr. Yusliza binti Yusoff
3. Anugerah Penerbitan (Indexed) : Prof. Madya Dr Mohd Yazid bin Idris
4. Anugerah Penerbitan (Non-Indexed) : Ts. Dr Nur Haliza binti Abdul Wahab
5. Anugerah Penyelidikan (Geran Penyelidikan) : Ts. Dr Goh Eg Su
6. Anugerah Penyelidikan (Pengkomersilan) : Prof. Dr. Naomie binti Salim
7. Anugerah Penyelidikan (Keterlibatan Industri dan Komuniti) : Prof. Madya Dr. Shahida binti Sulaiman
8. Anugerah Penyelidikan (Perundingan) : Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim
9. Anugerah Sukan (Olahragawan) : Ahmad Syazani bin Ahmad Nizam
10. Anugerah Sukan (Olahragawati) : Ts. Dr Nur Haliza binti Abdul Wahab
11. Anugerah Khidmat Masyarakat : Dr Ruhaidah binti Samsudin
12. Anugerah Personaliti Terbaik : Cik Noreha binti Mat Isa @ Abd Rahman
13. Anugerah Makmal Lestari : Makmal Pengaturcaraan Komputer (MPK) 3
14. Anugerah Inovasi Kerja (Individu) : Cik Faezah binti Zianalabiden

Scroll to Top