Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila pasukannya berjaya meraih tempat kedua dalam Southeast Asia Division Contest of the China International College Students’ Innovation Competition (SEA-CICSIC 2025) yang berlangsung pada 19 hingga 20 Julai 2025 di Xiamen University Malaysia.
Pertandingan berprestij ini menghimpunkan pelajar dan penyelidik muda dari seluruh negara Asia Tenggara bagi mengetengahkan idea dan inovasi teknologi yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan industri. Projek yang mewakili UTM bertajuk NexScholar merupakan sebuah platform pintar berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan dan Analitik Data Raya yang dibangunkan untuk memperkasa jaringan penyelidikan, kolaborasi akademik dan keterlibatan bersama industri serta agensi kerajaan.
Pasukan ini diketuai oleh Dr. Seah Choon Sen bersama tiga orang pelajar iaitu Loh Yin Xia dari program PhD Informatics Engineering, Wong Yit Khee dari program PhD Computer Science, dan Yeong Wern Jie yang merupakan pelajar sarjana muda Data Engineering. Pasukan ini turut dibimbing oleh dua orang penasihat iaitu Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar dan Dr. Muhammad Alif Ahmad.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan dan daya saing warga UTM dalam menghasilkan solusi berinovasi tinggi dan berskala global. Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pasukan atas pencapaian cemerlang ini.

