JOHOR BAHRU, 26 Ogos – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Yang Berbahagia Dato’ Sri Shamshun Baharin bin Mohd Jamil bersama rombongan pegawai kanan NFCC. Lawatan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh usaha pencegahan jenayah kewangan negara melalui kolaborasi strategik antara penyelidik UTM dan agensi penguatkuasaan.
Kerjasama antara UTM dan NFCC bukanlah perkara baharu, malah telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sejak tahun 2022. Sejak itu, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Makmal Satelit Anti-Jenayah Kewangan (AFCLab) yang dirasmikan pada 26 November 2024.
AFCLab berfungsi sebagai platform penyelidikan, pembangunan teknologi, dan latihan profesional yang menghubungkan kepakaran akademik dengan mandat NFCC. Antara inisiatif utama yang telah dijalankan termasuk pembangunan Certified Financial Investigator Program (CFIP), sistem pintar pengesanan laman web palsu, kerangka kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan penipuan kewangan, serta pembangunan Legal Virtual Assistant berasaskan AI untuk menyokong penyelidikan undang-undang.
UTM yakin kerjasama ini akan terus diperkukuh melalui tiga bidang utama, iaitu:
- Pemerkasaan kompetensi dan latihan – memperluas modul profesional dan program latihan,
- Penyelidikan berimpak tinggi – menyokong dasar serta strategi pencegahan jenayah kewangan negara, dan
- Inovasi teknologi – menerapkan AI, analitik data, serta forensik digital dalam pencegahan dan pengesanan jenayah kewangan.
Kunjungan hormat ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan institusi antara NFCC dan UTM, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat dalam membangunkan ekosistem kewangan negara yang telus, berintegriti, dan bebas daripada ancaman jenayah kewangan.











