Menjunjung Jasa: Persaraan Prof. Madya Ts. Dr. Shahida Sulaiman

author

PROF. MADYA TS. DR. SHAHIDA SULAIMAN

UTM (2011–2026)

Dengan penuh rasa syukur dan penghargaan, Jabatan Kejuruteraan Perisian (KP), Fakulti Komputeran meraikan persaraan Prof. Madya Ts. Dr. Shahida Sulaiman (IEEE Senior Member), seorang ahli akademik yang telah mencurahkan bakti dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan perisian. Majlis pada 3 April 2026 diserikan dengan kehadiran mantan Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir yang juga ahli jabatan KP.

Sepanjang lebih satu dekad di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta pengalaman terdahulu di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau telah menyumbang dalam bidang reka bentuk perisian, pengurusan pengetahuan dan informatik pendidikan, di samping aktif dalam penerbitan, penyelidikan, kepimpinan akademik dan khidmat profesional. Pengalaman beliau sebagai Timbalan Dekan Akademik di USM membantu beliau dalam menyandang pelbagai jawatan di UTM dan Fakulti Komputeran, antaranya Ketua Kumpulan Penyelidikan Software Engineering Research Group (SERG), Ketua Jabatan KP, felow kolej serta Pengurus Alumni merangkap Endowmen.

Antara sumbangan besar beliau pada peringkat kebangsaan adalah menjadi pengasas Malaysian Software Engineering Interest Group (MySEIG), penganjuran persidangan MySEC dan bengkel SEPoW yang pertama, serta inisiatif dalam penganjuran Asia-Pacific Software Engineering Conference (APSEC) di Malaysia (2009, 2019). Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti melalui projek Centre for Advancement in Rural Education Informatics (iCARE® UTM-KEJORA) yang memberi impak kepada pelajar luar bandar.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan di UTM antaranya Anugerah Keterlibatan Industri 2015, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2013, 2020, 2024), serta Anugerah Khidmat Masyarakat (2013, 2021). Pada peringkat antarabangsa, beliau juga merupakan IEEE STEM Champion (2022–2025) yang menerima IEEE Computer Society Diversity & Inclusion Grant 2023.

Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau akan terus menjadi inspirasi kepada warga fakulti khususnya para pensyarah muda di Jabatan KP.

Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan.

Selamat bersara, Prof. Madya Ts. Dr. Shahida!

UTM Open Day
Scroll to Top