Lawatan Industri Pelajar Kejuruteraan Data ke PPG Coatings (Malaysia) Sdn. Bhd.

author

7 April 2026 – Seramai 59 pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Data), Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai satu lawatan industri ke PPG Coatings (Malaysia) Sdn. Bhd. di Shah Alam. Lawatan ini diadakan bagi kursus Topik Khas Kejuruteraan Data dan diiringi oleh pensyarah, Dr. Aryati Bakri.

Perjalanan pelajar bermula pada 6 April 2026, jam 10.00 malam menuju ke UTM Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi industri pada keesokan harinya. Rombongan tiba di premis PPG pada jam 7.30 pagi untuk memulakan sesi lawatan.

Sepanjang lawatan, para pelajar telah didedahkan kepada pelbagai aspek praktikal dalam industri, termasuk pengenalan kepada sistem SAP dari sudut teknikal dan operasi, serta aplikasi analisis data yang digunakan di PPG. Selain itu, pelajar turut diberi pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar di industri serta peluang latihan industri dan penempatan kerjaya di syarikat tersebut.

Sesi perbincangan berkumpulan antara pelajar dan pihak industri turut diadakan semasa makan tengah hari, yang secara tidak langsung membantu merapatkan hubungan serta membuka ruang interaksi dua hala antara pelajar dan pihak PPG.

Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk dalam penyediaan kertas kerja, kelulusan serta pelaksanaan program dengan penuh komitmen dan semangat kerjasama.

UTM Open Day
Scroll to Top