Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kehadiran lima (5) orang Profesor Pelawat dari Kunming University of Science and Technology (KUST), China selama tiga (3) bulan mulai 22 Jun 2026 hingga 21 September 2026. Pada hari pertama, sesi perbincangan kolaborasi penyelidikan bersama Profesor Pelawat tersebut telah diadakan di Showcase Hub, Fakulti Komputeran.
Sesi dimulakan dengan perkongsian mengenai ekosistem penyelidikan di Fakulti Komputeran yang merangkumi pelbagai kumpulan penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan, sains data, keselamatan siber, rangkaian komputer, pengkomputeran teragih, Internet Kebendaan (IoT), teknologi pintar dan transformasi digital. Turut dibentangkan ialah pencapaian fakulti dalam penghasilan artikel berimpak tinggi yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal bereputasi antarabangsa, selain pembangunan pelbagai produk dan penyelesaian penyelidikan yang telah memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Para delegasi KUST turut diperkenalkan kepada pelbagai inisiatif pemindahan ilmu dan khidmat kepada komuniti yang dilaksanakan oleh warga Fakulti Komputeran. Melalui hasil penyelidikan yang dibangunkan, fakulti secara aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi program literasi digital, aplikasi teknologi pintar, pembangunan kapasiti komuniti, serta penyelesaian berasaskan data dan kecerdasan buatan yang menyokong kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan.
Perbincangan yang berlangsung dalam suasana yang konstruktif dan mesra ini turut meneroka peluang kerjasama strategik melibatkan penerbitan bersama, geran penyelidikan antarabangsa, mobiliti staf dan pelajar, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah serta pembangunan projek penyelidikan berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Fakulti Komputeran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para profesor pelawat KUST atas kesudian mengadakan sesi perbincangan ini dan berharap hubungan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh demi memajukan kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat di peringkat global.






















